Khamis, 31 Disember 2015

DIDIK MEMBACA DARI USIA KECIL -2

sambungan...

3- Suasana Rumahtangga Cinta Ilmu

- Menjadi kebiasaan di dalam setiap rumah mempunyai alatan hiburan pada zaman kini. Televisyen , radio, komputer, telefon bimbit, internet dan sebagainya merupakan peralatan lebih kepada hiburan berbanding manfaat. Sebaiknya ibu bapa dapat mengawal dan menghadkan penggunaannya. Hindarilah perkara yang melalaikan dan sia-sia. Kurangkan daripada anak-anak sering melihat keadaan kita bersama alatan-alatan tersebut.

- Ibubapa perlu menunjukkan sikap minat membaca. Kepimpinan melalui teladan. Jika ibubapa asyik berkepit dengan telefon bimbit, apa mentaliti anak-anak ?

- Sebolehnya adakan sebuah pustaka mini di dalam rumah.  Jika tidak mampu menyediakan sebuah bilik memadai dengan mewujudkan satu ruang khas dan tempat yang sesuai untuk membaca. Satu sudut yang terdapat sebuah rak dipenuhi buku yang sesuai.

4- Pilih bahan bacaan yang bagus dan sesuai

- Seperti yang telah penulis sebutkan sebelum ini. Bacaan yang perlu diutamakan adalah membaca Al-Quran Al-Karim. Al-Quran adalah sumber ilmu dan mukjizat. Perlembagaan hidup umat Islam dan panduan untuk seluruh umat manusia. Oleh itu kenalkan mereka dengan huruf-huruf Al-Quran dan lazimi mereka mengingati surah-surah berayat pendek.

- Kenalkan kepada mereka huruf-huruf abjad dan nombor. Biarkan mereka sentiasa mendengarnya samada dari bacaan kita atau mengunakan alatan audio-visual. Lakukan sehingga bunyi sebutan huruf-huruf Al-Quran (hijaiyyah), abjad dan nombor terkeluar sendiri dari mulut mereka. Dan tika itu adalah saat paling gembira dan manis bagi ibu bapa melihat perkembangan anak-anak.

- Apabila anak-anak telah mampu membaca sendiri dan tidak perlu kepada bimbingan kita. Maka sebolehnya diperhati dan dipastikan setiap bahan bacaan anak-anak. Galak dan dorongkan mereka supaya membaca bahan bacaan yang bermanfaat dan bermoral mulia.

5- Gabungkan sikap minat membaca dan menulis

- Selain membimbing anak-anak membaca melalui mendengar pertuturan kita. Digalakkan juga agar para ibu bapa menunjukkan cara menulis sambil menyebut huruf-huruf dan nombor tersebut.

- Ibu bapa boleh menyediakan kertas, buku tulis, pen atau pensil dan pastikan mereka berada dalam pemerhatian kita selama mereka menggunakan alat-alat tersebut. Utamakan keselamatan.

- Adalah suatu kebiasaan anak-anak yang suka menconteng. Perkara yang merunsingkan ibu bapa  apabila anak-anak mula menconteng dinding dan lantai. Tidak cukup dengan itu, ada pula yang menconteng perabot, buku-buku kita dan lain-lain. BERSABARLAH. Didik dan nasihati mereka dan  berikan mereka alternatif untuk mereka bekarya. Selain menyediakan peralatan di atas, anda juga boleh menampal kertas kosong di dinding.

1 ulasan: