Sabtu, 12 Disember 2015

DIDIK MEMBACA DARI USIA KECIL

Membaca adalah suatu perintah Allah Taala di dalam Al-Quran.
Pentingnya membaca sehingga Allah Taala menurunkan perintah itu pada wahyu yang pertama. Semua maklum bahawa membaca adalah antara kaedah utama dalam menuntut ilmu. Ramai kalangan ilmuwan yang berjaya kerana mereka golongan yang minat membaca. Buku adalah pendamping hidup mereka.
     
Membaca adalah sikap yang perlu dipupuk sedari usia kecil. Bukan tidak boleh mula minat membaca apabila usia sudah dewasa, namun memerlukan kesungguhan dan pandai membahagikan masa dengan baik. Oleh itu, memupuk minat membaca sedari kecil akan menjadi kebiasaan dan budaya dalam kehidupan seharian apabila mereka dewasa kelak. Mungkin berasa janggal apabila tidak menatap buku seharian.
                
Apabila kita ingin menanam minat membaca kepada anak-anak, pastikan beberapa persoalan berlegar di dalam kotak fikiran kita. Bila ingin mulakan menanam minat membaca pada anak-anak? Bagaimana ingin memulakan? Apakah bahan bacaan yang sesuai? Apakah sukatan pembelajaran yang sesuai mengikut tahap umur mereka? Dan pelbagai soalan yang perlu kita fikirkan sebelum merancang pembelajaran anak-anak. Oleh demikian , tidak dapat tidak kita juga perlu mencari dan menambah ilmu untuk mendapatkan jawapan-jawapan tersebut.
                
Di sini ingin saya kongsikan beberapa tips dan cadangan dari pembacaan saya, beberapa cara mendidik anak-anak agar minat membaca dan boleh membaca sedari usia kecil.

1- Niat Ikhlas Agar Zuriat Menjadi Ilmuwan Muda Yang Soleh Dan Musleh

- Setiap amalan, kerja buat dan keinginan pasti ada  tujuan dan matlamat. Itulah niat. Ikhlaskan niat kerana Allah dalam mendidik anak menjadi insan ilmuwan yang berjaya. Mendidik anak adalah saranan agama. Mendidik anak berjaya bukan untuk berbangga dan menunjuk. Bukan untuk mengaut serta mengejar keduniaan. Bukan kerana  kepentingan diri kita pada hari tua. Namun, agar mereka menjadi insan berilmu lagi soleh ( beragama ) dan musleh ( membimbing orang lain menjadi baik ).
- Niat ikhlas tersebut dapat dikuatkan dengan besertakan doa yang berterusan. Pengharapan tinggi kepada Allah Taala agar zuriat kita berjaya di dunia dan akhirat.

2- Membacakan Al-Quran Al-Karim Sedari Alam Kandungan

- Bacaan pertama yang perlu dipupuk kepada anak-anak adalah Al-Quran Al-Karim. Sirami jiwa dan minda mereka dengan tadahan wahyu Ilahi sejak di alam rahim. Bacakan ayat-ayat suci tersebut saban hari agar si anak mendengarnya. Bukan si ibu sahaja yang membaca tetapi turut didengarkan suara  bapannya. InsyaAllah, banyak kelebihan dan manfaat dari amalan ini. Bukan sahaja untuk si anak di dalam kandungan juga pada diri ibu itu sendiri.

- Bacakan juga kisah-kisah para Rasul a.s. dan para solihin. Sedikit sebanyak akan memberi kesan pada pembentukan nilai murni diri mereka nanti.

2 ulasan:

  1. dri cik en kecik, sekolah ada buat program nilam, didik sedari kecil untuk membaca. cuma kini membaca bukan sahaja pada buku, tpi byk yg lain.. cthnya blog sebegini.. tp buku tetap menjadi pilihan cik en.

    BalasPadam
  2. TAHNIAH! kerana minat membaca... yup, zaman le ni banyak alatan yang sudah jadi pengganti buku

    BalasPadam