Selasa, 22 September 2015

Pemuda Islam Yang Dijanjikan

Penulis: Dr. Yusuf Al-Qordhowi     
Penterjemah: al-Ghuraba'
Asal tajuk: Jail an-Nashr al-Mansyud
Muka surat: 98 muka + 17 muka pengantar
Kata pengantar: Dr. Ridhuan Mohamad Nor

" Matlamat buku ini adalah untuk menyuntik energi yang berterusan untuk anak muda dengan pil-pil kesedaran bertunjang ilmu, kerana ledakan semangat tanpa ilmu  dan pencerahan adalah fatamorgana di Sahara yang kontang. Pemuda mestilah disuluh dengan ilmu yang benar semoga semangat mereka yang melimpah ruah tidak tersasar dan tidak terbimbing. Dalam perjuangan akal hendaklah dibelai dan dibajai dengan ilmu yang bermanfaat. " - Penerbit

" Dalam generasi inilah akan tertegaknya panji Allah di muka bumi, seterusnya megahlah agama al-Khaliq (Allah) di dunia mahkluk. Dengannya juga akan bersinarlah sinaran langit ke atas kegelapan bumi. Generasi inilah yang selayaknya mendapat pertolongan Allah, diiringi oleh para malaikat; segala yang ada di bumi ini 'ringan' untuk membantunya, sehinggakan batu dan pokok juga berkata kepadanya " Wahai hamba Allah...wahai muslim... musuhmu ada dibelakangku, kemarilah dan bunuhlah dia". - Penterjemah

Buku ini yang berasal dari bahasa Arab dengan judulnya Jail an-Nashr al-Mansyud. Sebuah tulisan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhowi seorang ulama' kontemporari yang terkenal. Beliau juga merupakan Ketua Kesatuan Ulama' Sedunia. Beliau menggariskan beberapa isi penting dalam buku ini dengan harapan akan muncul pada suatu masa generasi yang akan membawa panji kemenangan Islam.

Beliau telah mengupas beberapa masalah umat Islam kini yang terpengaruh dengan dunia dan kecelaruan pemikiran. Selain itu, beliau turut menyusun beberapa syarat kemenangan  yang perlu umat Islam beri perhatian dan perolehinya untuk mendaulatkan Islam.

Buku Pemuda Islam Yang Dijanjikan turut memperincikan ciri-ciri generasi kemenangan yang disebut di dalam al-Quran dan Sunnah.  Mudah-mudahan buku ini menjadi panduan berguna kepada kita untuk mempersiapkan diri dan keluarga menjadi generasi penyumbang kemenangan Islam.

Isnin, 14 September 2015

Pemikiran Islam Liberal



Sebuah buku tulisan Dr. Ugi Suharto yang berasal dari Jakarta. Berkelulusan sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); dalam bidang ekonomi Islam. Kini bertugas sebagai Penolong Professor di Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, UIAM.

Buku ini membicarakan berkenaan isu-isu yang sering dimainkan oleh golongan yang cuba merosakkan agama Islam. Mereka menimbulkan keraguan dan menyesatkan pemikiran umat Islam melalui kajian ilmiah yang songsang. Kajian yang tidak adil dan menggunakan akal semata-mata tanpa ada suluhan Ilahi (Al-Quran dan Sunnah). Golongan Islam Liberal ini kononnya cuba untuk memodenkan agama dan sering melaungkan slogan kebebasan tanpa batas. Antara isu yang sering disuarakan mereka adalah pluralisme agama, feminisme dan sebagainya. 

Buku ' Pemikiran Islam Liberal ' ini juga turut dimuatkan beberapa hujah ilmuwan Islam kontemporari menolak keraguan dan pemikiran golongan liberal ini. 

Buku ini juga mengupas perihal golongan ini yang cuba meragukan umat Islam terhadap dua sumber utama Islam iaitu Al-Quran dan Al-Hadith. Peranan mereka  bukan baru 
beroperasi tetapi telah sekian lama selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. 

Tulisan Dr. UGi Suharto ini perlu dibaca oleh umat Islam dalam menghadapi pelbagai rencah pemikiran moden yang tidak selari dengan kehendak syariat Islam. Lebih malang lagi apabila fakta dan ilmu telah diputarbelit tanpa mengira kesan buruk pada masa hadapan. Umat Islam perlu sedar dan membina kekuatan bersama untuk menangkis segala tipu daya golongan ini. 

Pemikiran Islam Liberal yang menular di Indonesia sepatutnya menjadi pedoman dan muhasabah kepada negara kita Malaysia. Oleh itu, buku ini dapat memberi penjelasan kepada kita berkenaan latar belakang dan corak pemikiran serta cara mereka mengelirukan umat Islam.

Sabtu, 12 September 2015

BELAJAR

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Penulis masih lagi teringat kata-kata al-marhum ustaz semasa di bangku sekolah menengah agama - Belajar ini bukan setakat di sekolah sahaja. Ustaz sekarang ni masih belajar, belajar untuk mengajar.

Dari itu kita dapat memahami bahawa belajar adalah rutin kehidupan seharian. Belajar dari pelbagai sudut bidang kehidupan. Belajar dari pengalaman. Belajar dari setiap kesalahan. Dan pelbagai lagi kaedah belajar yang kita sedar atau tidak sedar sentiasa mengiringi kehidupan seharian. Oleh itu, kaedah belajar ini bolehlah kita bahagikan kepada pembelajaran secara langsung dan pembelajaran secara tidak langsung. Membaca dan menulis kaedah belajar yang mana satu?

Selasa, 8 September 2015

Apa Erti Saya Menganut Islam?

" Umat Islam mestilah menyedari bahawa kekosongan besar yang dihadapi oleh mereka sekarang ini tidak akan dapat diisi oleh rancangan-rancangan yang diatur oleh Rumah Putih (White House) di Amerika atau rancangan-rancangan oleh Kremlin dari Russia malah ia juga tidak akan dapat diisi oleh pemikiran Mark, Lenins, prinsip-prinsip Jipara mahupun Ho Chi Minh ".

Buku yang berjudul asal Maza Ya'ni Intimai Lil Islam ini merupakan karangan seorang tokoh besar dalam arena dakwah dunia Islam. Beliau adalah Ustaz Dr. Fathi Yakan yang bergerak dalam Jamaah Islamiyyah di Lubnan.

Buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama berkenaan kewajipan seorang muslim memahami hakikat Islam yang mereka anuti. Bagaimana Islam mereka pada sudut aqidah, ibadah, akhlak, berkeluarga. Mengenali musuh mereka dan cara memeranginya serta meyakini bahawa masa depan adalah di tangan Islam.

Manakala bahagian kedua menjelaskan kewajipan seorang muslim untuk bekerja menegakkan Islam dan kewajipan melibatkan diri dengan gerakan Islam. Diterangkan juga bentuk dan ciri gerakan Islam yang perlu mereka menggabung diri dengannya dan bagaimana perjalanan gerakan Islam tersebut.

Perkara-perkara ini dijelaskan supaya seorang muslim itu faham dan mampu menghadapi cabaran semasa dengan pelbagai serangan yang dihala tuju kepada umat Islam. Setiap muslim merupakan pendakwah kepada diri mereka dan orang sekeliling mereka. Oleh itu, buku ini merupakan bekalan asas yang perlu difahami dan diamalkan oleh setiap muslim. Tugas dakwah tidak terbeban hanya kepada golongan tertentu di kalangan umat Islam. Setiap muslim berperanan menyampaikan Islam mengikut tahap kemampuan masing-masing.

" Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat " -Hadis

Sabtu, 5 September 2015

Membaca Membina Tamadun

Assalamualaikum w.b.t.

Selamat malam kepada semua pengunjung,
Membaca adalah amalan yang mulia. Membaca perlu dipupuk sedari kecil supaya menjadi pengamalan seharian pada diri individu, keluarga dan masyarakat. Masyarakat yang rajin membaca akan mampu membina tamadun umat dan negara.

Antara kaedah penting untuk menimba ilmu adalah dengan membaca. Pelbagai bidang pengetahuan dan ilmu perlu kepada pembacaan untuk kita menguasai sesuatu ilmu. Didiklah diri dan keluarga anda untuk membudayakan membaca sebagai amalan harian.