Sebuah buku tulisan Dr. Ugi Suharto yang berasal dari Jakarta. Berkelulusan sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); dalam bidang ekonomi Islam. Kini bertugas sebagai Penolong Professor di Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, UIAM.
Buku ini membicarakan berkenaan isu-isu yang sering dimainkan oleh golongan yang cuba merosakkan agama Islam. Mereka menimbulkan keraguan dan menyesatkan pemikiran umat Islam melalui kajian ilmiah yang songsang. Kajian yang tidak adil dan menggunakan akal semata-mata tanpa ada suluhan Ilahi (Al-Quran dan Sunnah). Golongan Islam Liberal ini kononnya cuba untuk memodenkan agama dan sering melaungkan slogan kebebasan tanpa batas. Antara isu yang sering disuarakan mereka adalah pluralisme agama, feminisme dan sebagainya.
Buku ' Pemikiran Islam Liberal ' ini juga turut dimuatkan beberapa hujah ilmuwan Islam kontemporari menolak keraguan dan pemikiran golongan liberal ini.
Buku ini juga mengupas perihal golongan ini yang cuba meragukan umat Islam terhadap dua sumber utama Islam iaitu Al-Quran dan Al-Hadith. Peranan mereka bukan baru
beroperasi tetapi telah sekian lama selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Tulisan Dr. UGi Suharto ini perlu dibaca oleh umat Islam dalam menghadapi pelbagai rencah pemikiran moden yang tidak selari dengan kehendak syariat Islam. Lebih malang lagi apabila fakta dan ilmu telah diputarbelit tanpa mengira kesan buruk pada masa hadapan. Umat Islam perlu sedar dan membina kekuatan bersama untuk menangkis segala tipu daya golongan ini.
Pemikiran Islam Liberal yang menular di Indonesia sepatutnya menjadi pedoman dan muhasabah kepada negara kita Malaysia. Oleh itu, buku ini dapat memberi penjelasan kepada kita berkenaan latar belakang dan corak pemikiran serta cara mereka mengelirukan umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan