Selasa, 8 September 2015

Apa Erti Saya Menganut Islam?

" Umat Islam mestilah menyedari bahawa kekosongan besar yang dihadapi oleh mereka sekarang ini tidak akan dapat diisi oleh rancangan-rancangan yang diatur oleh Rumah Putih (White House) di Amerika atau rancangan-rancangan oleh Kremlin dari Russia malah ia juga tidak akan dapat diisi oleh pemikiran Mark, Lenins, prinsip-prinsip Jipara mahupun Ho Chi Minh ".

Buku yang berjudul asal Maza Ya'ni Intimai Lil Islam ini merupakan karangan seorang tokoh besar dalam arena dakwah dunia Islam. Beliau adalah Ustaz Dr. Fathi Yakan yang bergerak dalam Jamaah Islamiyyah di Lubnan.

Buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama berkenaan kewajipan seorang muslim memahami hakikat Islam yang mereka anuti. Bagaimana Islam mereka pada sudut aqidah, ibadah, akhlak, berkeluarga. Mengenali musuh mereka dan cara memeranginya serta meyakini bahawa masa depan adalah di tangan Islam.

Manakala bahagian kedua menjelaskan kewajipan seorang muslim untuk bekerja menegakkan Islam dan kewajipan melibatkan diri dengan gerakan Islam. Diterangkan juga bentuk dan ciri gerakan Islam yang perlu mereka menggabung diri dengannya dan bagaimana perjalanan gerakan Islam tersebut.

Perkara-perkara ini dijelaskan supaya seorang muslim itu faham dan mampu menghadapi cabaran semasa dengan pelbagai serangan yang dihala tuju kepada umat Islam. Setiap muslim merupakan pendakwah kepada diri mereka dan orang sekeliling mereka. Oleh itu, buku ini merupakan bekalan asas yang perlu difahami dan diamalkan oleh setiap muslim. Tugas dakwah tidak terbeban hanya kepada golongan tertentu di kalangan umat Islam. Setiap muslim berperanan menyampaikan Islam mengikut tahap kemampuan masing-masing.

" Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat " -Hadis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan